KEADAAN helmet milik Rosdi yang calar akibat terlanggar tali tangsi yang diikat antara pokok dan tiang lampu di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Johor Bahru.
KEADAAN helmet milik Rosdi yang calar akibat terlanggar tali tangsi yang diikat antara pokok dan tiang lampu di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Johor Bahru.
Omar Ahmad

Johor Bahru: Perbuatan individu tidak bertanggungjawab mengikat tali tangsi antara pokok dan tiang lampu di Jalan Persiaran Bumi Hijau, di sini, boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Mangsa, Rosdi Roslan, 33, berkata, dia yang menunggang motosikal terkejut apabila perasan terdapat tali tangsi diikat di laluan kenderaan.

Katanya, ketika kejadian, dia baru pulang dari tempat kerja di Taman Molek ke Kampung Melayu Majidee, jam 5.30 petang pada Ahad lalu.

“Mujur pada masa itu saya bawa motosikal dengan perlahan kira-kira 50 kilometer sejam.

“Alhamdulillah, saya sempat menolak tali tangsi yang diikat itu ke atas dan terkena topi keledar sebelum terputus,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia luka di tangan dan topi keledar calar serta koyak.

“Kalau laju memang boleh cedera di leher. Selepas kejadian itu, saya berhenti di tepi jalan dan melihat sekeliling serta naik ke padang berdekatan untuk melihat sekiranya terdapat orang di kawasan itu.

“Saya juga lihat tali itu diikat dan bukan dililit. Jika dililit tali akan kendur, tetapi tali ini tegang dan berbahaya,” katanya.

Katanya, bimbang pengguna jalan raya lain terkena insiden itu, dia segera berkongsi di laman sosial supaya pengguna lain berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:34 AM