GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


MAHKAMAH Sesyen berasingan di Kuala Lumpur, hari ini, melepas dan membebaskan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, kartunis Zunar dan peguam N Surendran atas tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan.

Hakim Zamri Bakar dan Hakim Dr Gan Chee Keong, masing-masing membuat keputusan itu selepas mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, Zaki Asyraf Zubir dan Faizah Ismail menarik balik pertuduhan terhadap kesemua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa, 62, didakwa mengeluarkan perkataan menghasut pada perhimpunan di pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 5.20 petang, 7 Mac 2015.

Sementara itu, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 56, didakwa atas sembilan tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di Twitter di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, 3 petang, 10 Feb 2015.

Surendran, 52, dituduh menerbitkan artikel bertajuk Press Release: Court of Appeal’s Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable di pejabat Malaysiakini.com, di Bangsar Utama, Brickfields, 3.40 petang, 18 April 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, peguam Latheefa Koya bertindak mewakili Surendran manakala Surendran bertindak bagi pihak Zunar. Turut mewakili Sivarasa adalah Latheefa dan Surendran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 7:33 PM