R Sivarasa (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
R Sivarasa (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika menghadiri perhimpunan jalanan di ibu negara, 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, Sivarasa mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung sistem kehakiman negara di perkarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 5.20 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sivarasa diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 19 November ini sebagai sebutan semula.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud manakala Sivarasa diwakili peguam M Puravalen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 2:00 PM