MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan  daripada hukuman penjaran tiga bulan serta denda RM1,800. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan daripada hukuman penjaran tiga bulan serta denda RM1,800. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Murni Wan Omar


NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang atau Tian Chua dilepas dan dibebaskan daripada hukuman penjara tiga bulan serta denda RM1,800 atas kesalahan memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu ceramah, lima tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Tian Chua, 55, terhadap sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd Nazlan berpendapat kes prima facie gagal dibuktikan memandangkan perkataan yang dibuat oleh Tian Chua tidak bersifat menghasut.

“Ucapan oleh Tian Chua ketika itu adalah hanya untuk mengenalpasti kesilapan dan kesalahan di dalam kerajaan dan menasihati orang ramai untuk bertindak balas secara damai serta memperbaiki kecacatan itu.

“Walaupun Tian Chua tidak menafikan beliau ada membuat kenyataan itu, namun analisa secara keseluruhan terhadap maksud dan konteks mendapati kenyataan yang dibuat tidak merujuk untuk mengubah kerajaan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zain Ibrahim dan Muhammad Azmi Masud.

Terdahulu, Muhammad Azmi memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak mencabar rayuan yang dikemukan oleh Tian Chua dan menarik balik rayuan balas untuk menambah jumlah hukuman.

Tian Chua diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya.

Sementara itu, Tian Chua ketika ditemui mengucapkan kegembiraannya selepas kes itu selesai.

“Saya berasa lega kerana kes ini sudah selesai dan rasa dalam suasana politik baru ini tidak lagi wajar sesiapa membawa hujah secara bebas dalam kritikan terhadap kerajaan harus dihukum mengikut Akta Hasutan.

“Akta ini sudah ketinggalan zaman dan patut dimansuh dan tidak lagi diguna pakai untuk menyekat pandangan orang awam serta kebebasan bersuara. Saya akan teruskan perjuangan sebagai aktivitis lantang bersuara bersama dengan pemimpin Pakatan Harapan yang memerintah sekarang untuk merealisasikan impian rakyat,” katanya.

Pada 28 September 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 selepas didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Kuala Lumpur pada 2013.

Pada 29 Mei 2013, Tian Chua bekas Ahli Parlimen Batu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut perkataan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Tian Chua didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi, Kuala Lumpur di antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 2:28 PM