GAMBAR fail menunjukkan keadaan Mohamad Saiful Hazami. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan keadaan Mohamad Saiful Hazami. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


KEADAAN kanak-kanak berusia 11 tahun yang cedera disengat lebih 100 tebuan di Kampung Tendong, Pasir Mas, minggu lalu beransur pulih.

Dalam kejadian jam 4 petang pada 21 Julai lalu, Mohamad Saiful Hazami Mat Ghani, disengat serangga itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tendong sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Ibunya, Noraini Ismail, 46, berkata, Mohamad Saiful mula menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa hari lalu selepas selamat menjalani pembedahan di leher dan mencuci buah pinggang.

Katanya, sebelum ini, Mohamad Saiful kurang berselera untuk makan berikutan masih berasa sakit di belakang badan dan kepala akibat disengat tebuan.

“Alhamdulillah, sejak keluar dari unit rawatan rapi (ICU) dan ditempatkan di wad kanak-kanak saya lihat dia semakin selera makannya dan dia ada beritahu mahu keluar cepat dari hospital untuk kembali ke sekolah.

“Bagaimanapun, doktor maklumkan anak saya masih memerlukan rawatan lanjut dan akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada jirannya dan pihak hospital yang berusaha menyelamatkan anaknya.

“Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa mereka yang bertungkus lumus memastikan anak saya kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan, sebelum kejadian Mohamad Saiful Hazami sedang berjalan ke rumahnya selepas mandi di sungai berhampiran rumahnya bersama beberapa rakan sebelum diserang tebuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:12 PM