CHE Adan  (tengah) bersama Mohd Fadhli dan  Nor Zawatilisyqi menunjukkan sabun yang dihasilkan  SMKTI Permaisuri, Setiu.  Gambar kecil, pelajar bersama sabun.
CHE Adan (tengah) bersama Mohd Fadhli dan Nor Zawatilisyqi menunjukkan sabun yang dihasilkan SMKTI Permaisuri, Setiu. Gambar kecil, pelajar bersama sabun.
Nurul Fatihah Sulaini

Permaisuri: Idea kreatif guru lelaki menghasilkan sabun gabungan daun tin, daun zaitun dan air zam-zam berjaya apabila produk itu membantu untuk merawat pelbagai masalah penyakit kulit.

Pada peringkat awal, penghasilan produk itu dilakukan bagi mengisi aktiviti pembelajaran dalam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim (SMKTI) Permaisuri, Setiu.

Mohd Fadhli Yusof berkata, cetusan idea untuk menghasilkan sabun itu timbul secara kebetulan kerana minatnya menanam pokok termasuk pokok tin serta zaitun.

“Jika diikutkan saya adalah guru Pendidikan Islam tetapi ketika berpindah ke sekolah ini pada 2015, saya ditugaskan mengajar pelajar Pendidikan Khas.

“Disebabkan hobi berkebun, saya turut membabitkan pelajar untuk menanam pokok tin serta pelbagai pokok dalam kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, teknik penghasilan sabun dipelajari ketika mengikuti kursus jangka pendek di Kolej Universiti Bestari (UCB).

“Berpandukan ayat al-Quran dalam surah At-Tin, saya yakin gabungan pokok tin dan zaitun mampu memberi khasiat dan kebaikan untuk merawat penyakit.

“Justeru, saya memilih untuk meneroka kebaikan daun tin dan zaitun kerana penggunaannya masih belum meluas berbanding buah dan minyak yang diperbuat daripada pokok itu,” katanya.

Mohd Fadhli berkata, proses penghasilan sabun mengambil masa dua hari kerana daun yang dikutip perlu dikeringkan terlebih dulu.

“Selepas daun kering ia dikisar, direbus dengan satu liter air sehingga menjadi suku liter dan ditapis bagi mendapatkan ekstrak daun.

“Beberapa bahan lain turut dimasukkan seperti air zam-zam, esen vanila, minyak aromaterapi lavender, pewarna pandan dan bahan asas sabun.

“Satu kilogram ramuan sabun yang siap dibancuh dituang ke dalam bekas dan mampu menghasilkan 30 ketul sabun bersaiz mini dijual dengan harga RM15 setiap satu,” katanya.

Pelajar PPKI, Muhammad Aiman Che Mokhtar, 14, berkata, dia teruja kerana terbabit dalam aktiviti menghasilkan sabun itu.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat proses membuat sabun tetapi hasil usaha ustaz, kami menghasilkan sabun yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Guru Penyelaras Schoolwide Enrichment Model (SEM) SMKTI, Nor Zawatilisyqi Ismail berkata, produk sabun itu terpilih mewakili sekolah itu dalam pertandingan SEM peringkat negeri Ogos ini.

Sementara itu, pengetua sekolah SMKTI, Che Adan Che Muda berkata, sekolah sentiasa menggalakkan pelajar dan guru mengambil bahagian dalam pertandingan mencungkil bakat kreatif dalam diri mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 3:32 AM