HIASAN
HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


POLIS Kedah memandang serius isu berkaitan penyeludupan imigran, dadah, senjata api serta barangan salah termasuk mercun, arak, rokok dan beras yang dilakukan tekong dan ahlinya didalangi kumpulan penyeludup haram serta samseng tempatan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, aktiviti itu dikesan pernah berlaku sehingga menyebabkan kerosakan pagar di beberapa lokasi penyeludupan termasuk di Kompleks Bebas Cukai Cergas Jaya dan Padang Golf Black Forest & Country Club Laka Temin, Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, polis Kedah juga berjaya menumpaskan dua kumpulan penyeludup dan samseng tempatan.

“Kumpulan dikenali Geng Pendek dan Geng Pak Su ini dikesan aktif dalam kegiatan penyeludupan manusia, senjata api, dadah, arak, mercun dan beras.

“Ketua kumpulan dan anggotanya kini berada dalam buangan/pengawasan dan sebahagiannya berada di penjara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Harian Metro semalam menyatakan 10 individu dinamakan sebagai raja penyeludup dengan tiga daripadanya dikatakan beroperasi di kawasan utara iaitu Kedah dan Perlis.

Sahabudin berkata, tiga individu penting itu sudah dikenakan tindakan iaitu Mohd Firdaus Johari atau pendek yang dikenakan hukuman pengawasan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 bagi tempoh tiga tahun bermula 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2020 di Terengganu.

“Peranti pengawasan elektronik turut dipasang kepadanya bagi memantau pergerakannya malah selain pendek, empat lagi ahli kumpulannya turut dikenakan tindakan undang-undang sama di beberapa lokasi berbeza di Pahang, Perak dan Selangor.

“Individu kedua adalah Johari Ariffin atau Pak Su juga sudah dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan pada 7 Januari lalu kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali geng Pak Su,” katanya.

Beliau berkata, turut dituduh mengikut seksyen sama adalah 28 orang ahli geng Pak Su dan mereka kini ditahan reman di penjara dan tidak dibenarkan jamin.

“Individu ketiga adalah Rosli Ariffin atau Pak Teh iaitu abang kandung kepada Pak Su juga sudah dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan 7 Januari lalu.

“Dia adalah individu penting dalam geng Pak Su kini sedang direman di penjara sementara menunggu perbicaraan,” katanya.

Menurut Sahabudin, pihaknya juga sudah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah serta Kelab Golf Black Forest untuk menutup laluan penyeludupan yang dikesan menggunakan jeriji besi kekal bagi mengelakkan ia berulang.

“Polis yakin tindakan tegas dikenakan terhadap kumpulan penyeludup ini mendatangkan kesan positif dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan secara besar-besaran di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung.

“Tindakan tegas polis ini juga adalah amaran kepada penguat kuasa di sempadan supaya tidak terbabit atau bersekongkol dengan kumpulan penyeludup,” katanya.

Katanya, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mengikut undang-undang pencegahan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika mereka terbabit dalam kegiatan itu.

Berita berkaitan:

Kartel taiko ala mafia [METROTV]

'Pintu' rahsia seludup migran [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:13 PM