Skuad Khas Harian Metro


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi meningkatkan integriti sekali gus menyukarkan aktiviti rasuah atau ‘kawtim’ yang berlaku antara segelintir anggotanya dan penyeludup.

Langkah itu sekali gus dijangka dapat mengawal ketirisan kerana aktiviti penyeludupan merugikan negara di mana penyeludup rokok boleh mengaut keuntungan mencecah RM5 bilion setahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya berusaha memantapkan proses dan prosedur pelaksanaan kerja menerusi Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).

“Saya tidak menafikan ada isu integriti berlaku. Namun JKDM sudah pun mengambil tindakan dan terus melakukan penambahbaikan untuk menutup ruang dan peluang di mana berlakunya ketirisan hasil.

“Bengkel CRM contohnya, apabila sistem dan prosedur sudah ditambah baik maka orang nak ambil rasuah atau nak salah guna kuasa pun tak boleh.

“Saya amat serius (menangani rasuah dan kawtim). Namun perlu ditegaskan, salah satu kekuatan yang ada pada kita ialah kebanyakan pegawai kastam adalah pegawai jujur. Cuma ada segelintir (tak jujur). Janganlah disebabkan nila setitik, susu sebelanga rosak,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu integriti segelintir warga JKDM menyebabkan kegiatan penyeludupan terus berlaku sehingga berbilion pendapatan negara hilang akibat cukai gagal dikutip.

Subromaniam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media SST Reborn! Transition from GST to SST di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, penambahbaikan sistem dan prosedur kerja secara berterusan perlu dilakukan dan buat masa ini JKDM sedang melaksanakan pengurusan perubahan ke arah pemantapan integriti pasukan.

Laporan khas Harian Metro pada Khamis lalu memetik kegiatan penyeludupan rokok kini menguasai 60 peratus pasaran tempatan didalangi sindiket terancang yang dikesan mengaut keuntungan RM5 bilion setiap tahun.

Kumpulan kartel ala mafia itu sanggup melabur jutaan ringgit untuk merasuah sesiapa sahaja termasuk pihak berkuasa sama ada di sempadan atau yang berada di bilik berhawa dingin di pejabat.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, terdapat pegawai kastam dilengkapi senjata api bertugas di kawasan sempadan untuk menangani ancaman dan penyeludup yang agresif.

Berita berkaitan

Kartel taiko ala mafia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 10:50 PM