Meor Riduwan Meor Ahmad


MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menetapkan sebutan semula kes empat lelaki didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pak Su' pada 20 November depan.

Hakim Azman Abu Hassan memutuskan demikian selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias yang memaklumkan kes itu akan disebut sekali dengan kes 20 lelaki yang didakwa atas tuduhan sama untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Pada 26 September lalu, empat tertuduh iaitu Johari Ariffin, 35, atau Pak Su, Rosidi Aziz, 35, Norazif Ahmad, 37, dan Shahadan Salim, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pak Su' bermula pada 1 Januari 2015 hingga 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Terdahulu, semua tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan kawalan ketat anggota polis pada 9 pagi.

Tertuduh, Johari, Rosidi dan Shahadan diwakili peguam Jay Moy Wei Jiun manakala Norazif diwakili peguam Faizal Rahman.

Pada 9 Oktober lalu, seramai 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menganggotai Geng Pak Su.

Berdasarkan pertuduhan 16 daripada mereka didakwa menganggotai Geng Pak Su antara tempoh 1 Januari 2015 hingga 11 September lalu.

Mereka ialah Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 24, M Murugan, 36, Rosli Ariffin, 40, Sariman Idris, 42, Mohd Norhizam Zamzuri, 29, Faizol Sobri Romli, 29, Amirul Ashraf Hussain, 20, Muhamad Ashraf Aziz, 23, Faizal Azlyshah Romli, 33, Aziz Othman, 56, Muhamad Asrun Amir Hussain, 23, Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18, Nur Arif Norzaidi, 19, Muhamad Amir Daud, 22, Norhasrul Izwan Noraini, 33, dan Joni Yakub, 37.

Empat lagi tertuduh, Zamzuri Aziz, 22, Shamsol Long, 45, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, dan Mohamad Rozaidi Sabu, 26, pula didakwa menganggotai kumpulan sama antara tempoh 1 Januari 2015 sehingga 13 September lalu.

Berita berkaitan

20 dituduh menganggotai kumpulan jenayah Geng Pak Su

Nafi ahli Geng Pak Su

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:30 PM
Anggota polis mengiringi empat lelaki yang dipercayai ahli Geng Pak Su di Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk sebutan semula selepas didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang dua tahun lalu. FOTO Amran Hamid
Anggota polis mengiringi empat lelaki yang dipercayai ahli Geng Pak Su di Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk sebutan semula selepas didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang dua tahun lalu. FOTO Amran Hamid