Muhaamad Hafis Nawawi


KEGIATAN tiga kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran dan samun berkawan di Johor, Perak dan Pulau Pinang didalangi warga tempatan, Indonesia dan etnik Rohingya tumpas susulan satu operasi khas jenayah terancang dijalankan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Geng Otong di Johor, Geng Halim, Perak dan Geng Husen Maungdaw di Pulau Pinang dapat ditumpaskan secara keseluruhan dengan penahanan ketua mereka termasuk ahlinya dalam operasi khas itu.

Menurutnya, pihak JSJ Kontinjen Johor, Perak dan Pulau Pinang menjalankan satu operasi khas jenayah terancang yang dinamakan Ops Pintas Selatan 2020 di Johor, Ops Benteng Lintang di Perak dan Ops Arakan di Pulau Pinang.

"Objektif pelaksanaan operasi khas ini adalah untuk mengumpul risikan keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang ke atas aktiviti haram penyeludupan migran melalui jalan tidak sah membabitkan kumpulan jenayah terancang.

"Selain dari itu operasi ini juga selaras dengan dasar kerajaan untuk mengawal sempadan dari dibolosi oleh warga asing bagi menghalang sepenuhnya penularan wabak Covid-19 yang berpunca dari kes import," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, Geng Otong didalangi lelaki warga Indonesia dapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah penyeludupan migran sejak 2014 sehingga kini.

"Ketuanya dikenali Otong dengan keahlian kumpulan ini dianggarkan berjumlah melebihi 51 orang yang mana mereka aktif dalam penyeludupan migran di kawasan perairan timur Johor.

"Geng Halim pula didapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah penyeludupan migran sejak 2017 sehingga kini yang diketuai lelaki tempatan dikenali Halim dengan jumlah ahli melebihi 17 orang," katanya.

Beliau berkata, kumpulan ini aktif dalam penyeludupan migran di perairan Hutang Melintang, Perak.

"Geng Husen Maungdaw pula didapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah penyeludupan migran dan samun sejak dari 2014 sehingga kini diketuai lelaki etnik Rohingya yang dikenali dengan nama panggilan Husen Maungdaw.

"Keahlian kumpulan ini dianggarkan berjumlah melebihi 20 orang yang mana majoriti ahli kumpulan ini adalah dari etnik Rohingya.

"Mangsa penyeludupan migran dan samun berkawan kumpulan ini juga adalah dari kalangan etnik Rohingya yang mana mereka aktif melakukan penyeludupan migran di perairan utara semenanjung serta aktif melakukan samun berkawan di Pulau Pinang," katanya.

Huzir berkata, ketua dan ahli kumpulan ini pernah beberapa kali ditahan atas kesalahan jenayah penyeludupan migran dan samun serta ada juga dituduh di mahkamah.

"Bagaimanapun kumpulan ini masih terus wujud dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali malah keahlian kumpulan mereka juga semakin hari semakin bertambah dan jenayah penyeludupan migran dan samun yang dilakukan menjadi semakin serius.

"Susulan itu, pada 4 Jun hingga 20 Jun lalu, JSJ Kontinjen Johor, Perak dan Pulau Pinang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) serta Bahagian Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (D3) melancarkan operasi serentak bagi menghapuskan kumpulan ini," katanya.

Katanya, hasil operasi di ketiga-tiga kontinjen menahan seramai 111 suspek berusia 28 sehingga 68 tahun bagi membantu siasatan.

"Kita turut merampas telefon bimbit, bot nelayan, bot laju, kereta dan wang tunai dengan nilai rampasan RM1.5 juta.

"Tiga kertas siasatan dibuka dan sudah dirujuk kepada pejabat pendakwa raya dengan cadangan menuduh ketua dan ahli kumpulan mengikut Seksyen 130v Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu 50 Geng Otong, Geng Halim (13) dan Geng Husen Maungdaw (18)," katanya.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:03 PM