Anggota polis Unit STAFOC mengawal sebahagian daripada 20 orang yang dipercayai ahli Geng Pak Su ketika mereka tiba di Mahkamah Sesyen untuk mendapat perintah tahanan mengikut SOSMA. FOTO Amran Hamid
Anggota polis Unit STAFOC mengawal sebahagian daripada 20 orang yang dipercayai ahli Geng Pak Su ketika mereka tiba di Mahkamah Sesyen untuk mendapat perintah tahanan mengikut SOSMA. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 22 lelaki berusia 20 hingga 40-an ahli Geng Pak Su ditahan polis di sekitar daerah Kubang Pasu, semalam, kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, tangkapan terbaru itu adalah fasa ketiga dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bagi melumpuhkan kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk melihat sejauh mana pembabitan mereka dalam kegiatan ini.

Katanya, mereka ditahan selama 28 hari bermula hari ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

"Saya ingin memberi peringatan kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan supaya menghentikan aktiviti itu.

"Kita bukan hanya menumpukan kepada Geng Pak Su sahaja sebaliknya kumpulan lain yang terbabit dalam aktiviti ini juga akan diambil tindakan sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar susulan pertuduhan pembabitan dalam kumpulan jenayah terancang membabitkan Geng Pak Su, hari ini.

Mior Farid berkata, pihaknya mendapati sekurang-kurangnya empat lagi kumpulan melakukan aktiviti penyeludupan di sempadan dan polis akan terus menjalankan operasi bagi mematahkan dan melumpuhkan kegiatan mereka.

Beliau juga memberi peringatan kepada mana-mana agensi yang bersekongkol dengan kumpulan ini akan turut diambil tindakan ke atas mereka.

"Saya beri amaran semua yang terbabit dengan penyeludupan termasuk pembeli, penjual, penyeludup dan pemilik barang seludup tidak akan terlepas.

"Polis juga akan mempertingkatkan kawalan pencegahan di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam susulan pembukaan pintu sempadan selama 20 jam bermula 1 November ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:32 PM