Anggota polis mengiringi enam individu yang didakwa menganggotai Geng Pak Su di Mahkamah Sesyen. FOTO   Sharul Hafiz Zam
Anggota polis mengiringi enam individu yang didakwa menganggotai Geng Pak Su di Mahkamah Sesyen. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


ENAM lagi lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su yang terbabit dengan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sejak dua tahun lalu.

Semua dituduh secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan pertuduhan, enam daripada mereka didakwa menjadi ahli Geng Pak Su antara tempoh 1 Januari 2015 hingga 8 Oktober lalu.

Semua tertuduh dikenali sebagai Jamal Muhamad Syafian Jamaludin, 24, Mazlan Ahmad, 48, Akmal Firdaus Ahmad, 22, Mohd Shafiz Ibrahim, 29, Mohd Mizan Ismail, 39, dan Mohd Azhar Muei, 20.

Semua tertuduh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober depan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kes berkenaan termasuk dalam jadual pertama Akta SOSMA 2012.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, demi tujuan keselamatan, seramai 15 anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) lengkap bersenjata mengawal semua tertuduh dan sekitar ruang legar Mahkamah Sesyen 2.

Berita berkaitan

20 dituduh menganggotai kumpulan jenayah Geng Pak Su

Nafi ahli Geng Pak Su

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 12:02 PM