Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Bagi melumpuhkan kumpulan jenayah terancang termasuk sindiket penyeludupan rokok, Bukit Aman bakal menyita atau membekukan akaun bank yang terkait dengan mereka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan, pihaknya akan memaksimumkan penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 bagi membanteras sepenuhnya kumpulan terbabit.

Abdul Hamid berkata demikian ketika mengulas pendedahan beberapa pakar pada Persidangan Meja Bulat Isu Penjualan Rokok Seludup di Malaysia yang mendedahkan sindiket penyeludupan rokok Malaysia kini setaraf kumpulan gengster terkemuka Amerika Syarikat, Al Capone.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya banyak belajar daripada sejarah Amerika Syarikat dalam usaha menangani ancaman jenayah terancang termasuk kumpulan mafia.

“Bertahun-tahun mereka guna kekerasan...kekerasan dibalas kekerasan tapi tidak berjaya. Akhirnya, mereka (kerajaan) gubal satu undang-undang iaitu AMLA. Di situlah mafia kalah. Saya punya perancangan, mereka (sindiket penyeludupan) boleh ditangani jika ada integriti dan undang-undang yang baik.

“Kerajaan dah beri undang-undang yang baik. AMLA boleh digunakan ke atas mereka dan itulah pihak saya akan gunakan sepenuhnya,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan yang mahu dilakukannya kini sudah sampai kepada pengetahuan kumpulan penjenayah terbabit.

“Saya dapat dengar radio karat di luar sana mula berbual mengenai diri saya, apakah hala tuju dan ancaman yang saya berikan kepada mereka. Dah ada suara tersebut, tapi saya mesti beranilah.

“Apa yang saya buat untuk negara, itulah ikrar sumpah saya sewaktu masuk polis dulu untuk menegakkan undang-undang. Sekiranya saya ambil langkah berundur sampai bila-bila (masalah) tidak selesai sebaliknya ia bertambah rumit lagi.

“(Jika dibiarkan) ia akan menyelinap masuk ke sistem pentadbiran seperti mana yang berlaku suatu masa dulu yang mana mafia bermaharajalela. Jenayah terancang kalau kita lihat di Kepulauan Sicily, Itali. Contoh terbaru, berlaku di Colombia dan Mexico, kita dapat lihat sindiket dadah mahupun karter berkuasa dalam bandar. Mereka mampu untuk menentukan siapa jadi datuk bandar dan wakil rakyat. Nampak tak buruknya sekiranya benda ini tak ditangani,” katanya.

Menjawab soalan wartawan mengenai kematian Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dipercayai dibunuh ahli Geng Paksu yang menguasai aktiviti penyeludupan di Kedah pada Ogos 2017, Abdul Hamid berkata, perkara sedemikian tidak akan berlaku pada zamannya.

“Saya ambil langkah pulihkan semangat juang warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan dan nasihat yang saya berikan. Saya lihat kesedaran dan semangat baru pegawai pemerintah seperti Ketua Polis Negeri dan pegawai bawahannya.

“Apabila pemimpin atas di peringkat kontinjen tunjuk teladan kepemimpinan yang baik, risiko sebagaimana berlaku terhadap arwah dapat dielakkan apabila semangat menjaga sesama ahli dalam pasukan demi PDRM dan negara...risiko ini terhapus.

“Insya-Allah kejadian diugut, ditakutkan, malah ditembak tidak akan berlaku lagi. Contoh lain seperti kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya (April 2013) kita percaya berkait langsung dengan sindiket penyeludupan,” katanya.

Katanya, dia menasihatkan pegawai dan anggota PDRM supaya kembali ke pangkal jalan.

“Tahu mana salah mana betul, pegang ikrar kita dulu dan insya-Allah kita akan selamat sehingga hari pencen,” katanya.

Sementara itu, agensi penguatkuasaan di Malaysia seperti PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disaran mencontohi kerajaan Australia dan United Kingdom dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan penyeludupan rokok.

Kedua-dua negara terbabit menyediakan latihan atau kursus khas kepada pegawai penyiasat yang sering didedahkan dengan perkembangan terkini berkaitan sindiket penyeludupan rokok sebelum ditugaskan di lapangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:00 AM