Junaidi Ladjana dan Avila Geraldine


JABATAN Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menafikan insiden membabitkan sebuah kereta api terjatuh ketika diangkat dengan jentera pengangkut di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Pengurus Besar JKNS Melvin V Majanga berkata, kejadian itu sebenarnya membabitkan 'ballast regulator' atau mesin penyelenggaraan pengangkutan rel atau landasan untuk dibekalkan kepada JKNS.

“Untuk makluman, insiden di pelabuhan itu membabitkan 'ballast regulator' yang akan dibekalkan kepada JKNS untuk penyelenggaraan landasan, bukannya kereta api seperti yang mungkin dikatakan oleh pihak tertentu,” katanya hari ini.

Melvin berkata, jentera itu belum diserahkan kepada JKNS dan masih di bawah tanggungjawab pembekal.

“Kita hanya akan menerimanya dalam keadaan yang sempurna,” katanya.

Sejak pagi hari ini, tular satu rakaman video sebuah mesin penyelenggaraan landasan kereta api terjatuh dan terhempas ketika diangkat oleh jentera pengangkut di kawasan Pelabuhan Sepanggar.

Video berdurasi satu minit empat saat itu menunjukkan mesin berkenaan diangkat menggunakan jentera untuk dipindahkan ke treler.

Bagaimanapun ketika proses pemindahan dilakukan, tiba-tiba tali besar yang mengangkut mesin itu terputus lalu mesin berkenaan terjatuh di atas treler.

Ketika itu, tiga pekerja yang berada berhampiran lokasi bertempiaran lari menyelamatkan diri, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:53 PM
DETIK cemas mesin penyelenggaraan pengangkutan rel terhempas ketika diangkat jentera pengangkut di Pelabuhan Sepanggar, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca