KEADAAN kereta terbabit dalam kemalangan berdekatan Terowong Menora, Kuala Kangsar. (Gambar kecil) Tiang konkrit terjatuh dari treler yang menjadi punca kemalangan. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN kereta terbabit dalam kemalangan berdekatan Terowong Menora, Kuala Kangsar. (Gambar kecil) Tiang konkrit terjatuh dari treler yang menjadi punca kemalangan. FOTO ihsan pembaca.
Muhammad Apendy Issahak


KEMALANGAN menyebabkan dua maut di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora di Kuala Kangsar susulan tiang konkrit terjatuh dari sebuah treler, malam tadi, membabitkan enam kenderaan, setakat ini.

Dalam kemalangan itu, dua lelaki maut adalah Leong Woei Sar, 34, dan Cheah Kim Seng, 60, manakala dua wanita cedera adalah Cheah Mun Yee, 30 dan Cheah Mee Yee, 27, dan semua mereka menaiki kereta sama.

Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan maut itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah treler.

“Lokasi kemalangan adalah di Kilometer 256.1 PLUS arah selatan dan membabitkan lima kereta serta sebuah treler.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku membabitkan beberapa kenderaan melanggar tiang konkrit dipercayai jatuh dari treler dan membabitkan kematian,” katanya.

Menurutnya, pegawai penyiasat kini berada di lokasi kemalangan dan laporan penuh akan menyusul selepas ini.

Berita berkaitan

'Dua maut tiang konkrit jatuh dari treler'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:03 AM