PENUNGGANG motosikal maut digilis sebuah treler.
PENUNGGANG motosikal maut digilis sebuah treler.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pemuda maut selepas digilis sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 72 Jalan Batu Pahat - Mersing, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Anas Nabil Ahmad Nizam, 21 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa dikatakan ingin memotong treler berkenaan.

Namun, tindakan itu gagal menyebabkan motosikal mangsa bergesel dengan treler lalu mangsa terjatuh dan terseret di bawah treler.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dan treler berkenaan dari arah sama iaitu dari Kluang ke Kahang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa disyaki bergesel dengan treler semasa cuba memotong di sebelah kiri dan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.

"Penunggang terseret di bawah treler dan akibat pelanggaran itu, mangsa parah di kepala, tangan kiri, dada, paha kanan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdul Razak berkata, pemandu treler akan melakukan ujian saringan air kencing di pejabat bahagian Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kluang selepas selesai rakaman percakapan.

"Pemandu treler berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Saiful Fadly Karim daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kluang berkata, dua jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit di bawah treler.

"Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 11:02 PM