Hussin  bersama isterinya, Zainab  (kiri)  bersama ahli keluarga ketika mereka berkumpul  di Kompleks Tabung Haji, Sepang.
Hussin bersama isterinya, Zainab (kiri) bersama ahli keluarga ketika mereka berkumpul di Kompleks Tabung Haji, Sepang.
Noor Atiqah Sulaiman

Sepang: “Selama ini, saya hanya mendengar cerita daripada ibu, adik-beradik dan rakan. Tetapi, kini saya juga berpeluang mengerjakan haji,” kata jemaah haji, Zainab Mohd Salihin, 50.

Zainab mengakui sebaik menerima surat tawaran daripada Tabung Haji, dia teruja kerana ia pengalaman pertamanya menjejakkan kaki di Tanah Suci, Makkah.

Menurutnya, pelbagai persiapan dilakukan untuk ke sana termasuk bertanyakan tip dan mendapatkan panduan serta nasihat daripada adik-beradik dan rakan yang sudah ke sana.

“Selain itu, saya juga ada membaca di Internet mengenainya termasuk apa yang perlu dibawa dan apa yang tidak perlu.

“Perasaan takut pasti ada kerana ini pengalaman pertama, tetapi ia lebih kepada rasa tidak sabar dan teruja.

“Tambahan pula saya pergi ditemani suami, Hussin Hashim, 58, dan saya harap semuanya dipermudahkan,” katanya di Kompleks Tabung Haji, Sepang, di sini.

Zainab berkata, beliau memang menyimpan hasrat ke sana sejak dahulu dan bersyukur dijemput ke sana ketika usianya 50 tahun.

“Saya bersyukur kerana dijemput ketika saya masih sihat. Saya sering berdoa dapat mengerjakan haji dengan sebaiknya tanpa kekangan kesihatan,” katanya.

Katanya, dia juga berdoa semua enam adik-beradik termasuk ibunya yang berusia 72 tahun dapat mengerjakan haji atau umrah bersama-sama pada masa akan datang.

“Selain itu, saya juga berdoa perkara sama untuk anak saya,” katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji dibawa Tabung Haji menerusi 81 penerbangan dengan kumpulan pertama berlepas ke Tanah Suci Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:39 AM