DARI kiri, Maria, Fatimah, Kalthom bersama suami masing-masing.
DARI kiri, Maria, Fatimah, Kalthom bersama suami masing-masing.
Samadi Ahmad

Sepang: Perasaan pilu dan sedih menyelubungi tiga beradik apabila terpaksa meninggalkan suami masing-masing untuk ke Tanah Suci memandangkan semua mereka menghidap pelbagai jenis penyakit.

Biarpun berat mahu meninggalkan suami masing-masing, namun Maria Kassam, 68, Fatimah, 63, dan Kalthom, 61, dari Muar, Johor menyifatkan ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

Kalthom ketika ditemui berkata, suaminya, Kadir Ahmad Kamaldin, 62, menderita penyakit Parkinson sejak 2003 sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Tujuh tahun lalu, saya dan suami pernah menerima tawaran menunaikan haji namun terpaksa ditangguhkan kerana bimbang berdepan masalah ketika di Tanah Suci.

“Selepas itu, kami tidak berputus asa untuk mendapatkan rawatan termasuk berjumpa doktor pakar dan rawatan tradisional, namun suami masih disahkan tidak sihat serta tidak mendapat pelepasan mengerjakan haji,” katanya di Kompleks Tabung Haji, semalam.

Suami Maria pula, Mohd Iman Abdullah, 76, disahkan menghidap penyakit tahap gula rendah yang dikesan selepas mengerjakan umrah pada Mac lalu menyebabkan dia mudah pengsan.

Sementara itu, suami Fatimah iaitu Rahmat Jamil, 73, pula menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2004 dan menyukarkannya untuk bergerak selain terpaksa bergantung kepada bantuan kerusi roda.

Kalthom yang juga pesara kerajaan berkata, dia reda dengan ketetapan Allah SWT yang menentukan mereka tiga beradik berdepan masalah sama serentak, namun segala kesukaran itu bukan penghalang untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, hubungan mereka adik-beradik sangat rapat dan peluang dapat mengerjakan ibadat haji bersama ini akan mengukuhkan hubungan terutama dalam membantu satu sama lain ketika mengerjakan rukun haji di Tanah Suci kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 11:14 AM