Abdul Azeez  ketika menyambut  kepulangan sebahagian daripada 268 jemaah haji penerbangan terakhir MH8325 di  KLIA.
Abdul Azeez ketika menyambut kepulangan sebahagian daripada 268 jemaah haji penerbangan terakhir MH8325 di KLIA.
Noor Atiqah Sulaiman

Sepang: Bermula tahun depan, jemaah haji mula menggunakan Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai lokasi pengumpulan bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Kompleks Tabung Haji KLIA itu dijangka siap hujung tahun ini.

“Ia memudahkan perjalanan jemaah kerana lokasinya yang hanya 10 minit dari KLIA,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan 268 jemaah haji terakhir yang tiba di KLIA, di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, kompleks yang dibina di atas tapak seluas lima hektar itu dilengkapi hotel bertaraf empat bintang bagi keselesaan jemaah haji dan keluarga mereka berikutan pertambahan jumlah jemaah haji setiap tahun.

Menurutnya, kompleks itu turut menyediakan kawasan letak kenderaan lebih luas iaitu melebihi 550 petak, sekali gus mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku setiap tahun di kompleks di Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, Tabung Haji akan mula mengeluarkan surat tawaran bagi menunaikan haji bagi 2018 selewat-lewatnya November ini.

“Surat berkenaan dikeluarkan secara berperingkat sehingga Mei tahun depan. Sebanyak dua juta permohonan yang kita terima untuk menunaikan haji.

“Dari segi kuota haji, kita berharap ada penambahan biarpun kita semua tahu kuota 30,200 jemaah dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji, Syahriah Nuhung, 76, yang ditemui berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan ibadat haji dan selamat tiba di tanah air.

“Syukur akhirnya hajat saya untuk mengerjakan haji tercapai selepas 10 tahun menunggu.

“Urusan saya di sana juga dipermudahkan dengan bantuan daripada pegawai Tabung Haji. Mereka banyak membantu tidak kira waktu siang mahupun malam,” katanya.

Seorang lagi jemaah haji, Juhari Ismail, 58, berkata, ini kali kedua beliau berpeluang mengerjakan haji bersama isterinya.

“Di sana, Tabung Haji meminta kami berjalan secara berkumpulan dan ia secara tidak langsung mengurangkan risiko tersesat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:02 AM