PATI wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam Op Mega 3.0 di perkampungan Kemboja Kampung Che Lijah menunggu di perkarangan pejabat Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Jalan Banggol, Kuala Terengganu untuk dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang. FOTO Zaid Salim
PATI wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam Op Mega 3.0 di perkampungan Kemboja Kampung Che Lijah menunggu di perkarangan pejabat Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Jalan Banggol, Kuala Terengganu untuk dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang. FOTO Zaid Salim
BERNAMA

KERAJAAN membelanjakan lebih RM25 juta setahun bagi menampung kos makanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di 13 depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafar Ali berkata, itu antara punca utama pihaknya bertegas tidak menyambung Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Rehiring yang berakhir 30 Jun lalu.

“Jumlah itu tidak termasuk kos berkaitan utiliti, pengurusan pegawai serta penyelenggaraan depot yang tentunya memberi beban kewangan lebih besar jika pendatang haram ini tidak terus diusir selepas ditahan.

“Kita mengambil ketetapan pengusiran segera akan dibuat, malah bahagian penasihat undang-undang jabatan juga diminta mempercepat proses berkaitan agar langkah proaktif itu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan jabatan itu di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Penasihat Sosiobudaya kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim diundang menyampaikan amanat bertajuk Memperkasa Imigresen di Persada Dunia: Merealisasikan Wawasan dan Harapan.

Mustafar berkata, hingga kini, terdapat 6,678 pendatang haram yang ditahan di semua depot dengan jumlah maksimun tahanan adalah 1,500 orang di Bukit Jalil dan minimum 350 orang di Bekenu, Sarawak.

“Bahagian undang-undang akan bekerja keras bagi memastikan mereka yang ditahan diusir segera tanpa melewati tempoh siasatan antara dua hingga 14 hari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Op Mega 3.0 yang digerakkan selepas Program Rehiring berakhir, menyaksikan seramai 1,285 PATI ditahan bersama 16 majikan.

Beliau berkata, program yang bermula 15 Feb 2016 itu menyaksikan 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar, dengan 364,966 daripadanya sudah diproses.

Katanya, majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka digesa menghantar pulang pekerja terbabit menerusi Program Serah Diri Secara Sukarela (Program 3+1) bagi mengelak risiko dikenakan tindakan.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Julai tahun ini, seramai 117,448 pendatang haram sudah dihantar pulang melalui program itu,” katanya.

Sementara itu, Rais dalam ucapannya menyarankan penggunaan nama PATI bagi pendatang asing diganti dengan istilah 'pendatang haram' bagi menggambarkan keadaan sebenar golongan itu, selain mengupayakan tindakan jabatan.

Beliau berkata, walaupun agar kasar, ia amat bertepatan, apatah lagi kepada mereka yang masuk menerusi 'jalan tikus' yang nyata menyalahi undang-undang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:17 PM