Mustafar (tengah) memasak kari daging selepas majlis korban di Depoh Tahanan Imigresen KLIA, Sepang, semalam.
Mustafar (tengah) memasak kari daging selepas majlis korban di Depoh Tahanan Imigresen KLIA, Sepang, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Majikan dalam pelbagai sektor industri yang didapati melindungi dan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal berdepan tindakan dibekukan akaun selepas Jabatan Imigresen menguatkuasakan undang-undang berkenaan bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan membekukan akaun itu berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959/63 dan ia sudah sekian lama termaktub dalam undang-undang berkenaan.

Namun katanya, ia belum dikuatkuasakan, sekali gus perbincangan Jabatan Imigresen diadakan bersama penasihat undang-undang berhubung perkara itu.

“Kami memberi penekanan kepada majikan dalam industri supaya mematuhi undang-undang ini serta memberikan tempoh kepada mereka menyelesaikan perkara berkaitan pekerja asing antaranya dokumen perjalanan, permit dan pasport.

“Untuk tempoh ini, kami mahu mendidik masyarakat terutama majikan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan selain memastikan mereka tidak tersentak (terkejut) sekiranya tindakan membekukan akaun ini dikenakan,” katanya pada sidang media majlis korban di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mencari jalan penyelesaian terbaik termasuk sama ada menempatkan pegawai berkenaan di lapangan terbang sekiranya berdepan masalah membabitkan penumpang warga Malaysia dihalang ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:00 AM