LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera akibat dihempap pokok.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera akibat dihempap pokok.
Farah Suhaidah Othman


SIASATAN awal polis mendapati dua anggota tentera yang maut dan dua lagi cedera akibat dihempap pokok di Markas Taktikal Banding, malam tadi, dipercayai sedang tidur di bawah khemah ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.30 pagi hari ini sebelum mengarahkan lima anggotanya ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mendapati keempat-empat mangsa mendirikan khemah di bawah pokok di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, hujan lebat dan angin kencang hingga mengakibatkan pokok berkenaan tumbang sebelum menimpa semua mangsa yang sedang tidur.

“Sebaik polis tiba di lokasi kejadian pada 12.38 tengah hari tadi, pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan dua anggota tentera maut manakala dua lagi parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian gelap dan keadaan cuaca pada ketika itu hujan lebat serta angin kencang.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang parah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk patah paha serta kaki kanan dan berada bersebelahan dengan dua mangsa yang tidak sedarkan diri.

“Hasil bedah siasat di Hospital Gerik mendapati dua anggota yang maut mengalami patah tulang rusuk dan pendarahan dalam paru-paru akibat ditimpa pokok,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan , dalam kejadian 10.40 malam itu, Koperal Mohamad Safuan Hassan, 30, berasal dari Raub, Pahang dan Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf, 32, dari Kuala Ketil, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala dua mangsa parah adalah Koperal Mohd Haizol Kamsiran dan Renjer William Nisau Anak Atong dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut bertugas di 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) (Para) Melaka memasuki hutan itu sejak sebulan lalu untuk menjalani Ops Kota Echo/Foxtrot secara bergilir setiap dua bulan sekali bagi menjaga sempadan Perak.

Berita berkaitan

'Pelik Allahyarham tak suruh kemas beg'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:52 PM