ANGGOTA polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan Ops Selamat di Jalan Teluk Sisek. FOTO Shahrulnizam Mohamad
ANGGOTA polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan Ops Selamat di Jalan Teluk Sisek. FOTO Shahrulnizam Mohamad
Shahrul Nizam Mohamad


LELAKI yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal antara 16 individu yang ditahan dalam Ops Selamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun kemudian diserahkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan susulan, manakala 15 lagi dibebaskan selepas disahkan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ops Selamat yang bermula 12.30 tengah malam berakhir 3 pagi tadi turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis mengeluarkan 38 saman membabitkan pelbagai kesalahan terutama tidak memiliki lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan selain mengubah suai ekzos.

"JPJ pula mengeluarkan 131 saman dan 36 notis supaya membawa kenderaan masing-masing ke JPJ untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"JAS turut melakukan 69 pemeriksaan visual, enam ujian meter selain mengeluarkan tiga notis terhadap kenderaan berat untuk menjalani semula ujian asap ekzos;" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes lelaki khayal yang ditahan itu, polis menyerahkan kes itu kepada AADK untuk siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, Ops Selamat itu berjalan lancar serta tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan polis bersama agensi akan meneruskan operasi sama bagi mengesan kesalahan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 2:46 PM