ANGGOTA polis memeriksa pengguna jalan raya operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Manjung bersama AADK Manjung dan Jabatan Pengangkutan Jalan di Kilometer 2 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, Sitiawan, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
ANGGOTA polis memeriksa pengguna jalan raya operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Manjung bersama AADK Manjung dan Jabatan Pengangkutan Jalan di Kilometer 2 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, Sitiawan, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG mekanik memberikan alasan mengambil ubat urat kerana sakit badan selepas dia didapati positif dadah dalam operasi bersepadu di Kilometer 2, Jalan Kampung Acheh-Sitiawan di Sitiawan, semalam.

Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki itu mendapati suspek positif methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol (THC) dan dia cuba meyakinkan penguat kuasa dengan alasan pengambilan ubat itu.

Bagaimanapun, alasan tidak logik lelaki berusia 37 tahun itu gagal memperdaya anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung dan akhirnya dia mengaku mengambil bahan terlarang itu.

Lelaki terbabit antara lima individu ditahan dalam operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama pihak AADK dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula pada 3 petang hingga 7 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata operasi berkenaan membabitkan 38 pegawai dan anggota daripada tiga agensi terbabit.

Beliau berkata, sebanyak 89 saman dikeluarkan polis dan JPJ membabitkan pelbagai kesalahan selain turut menyita dua motosikal.

“JPJ mengeluarkan 47 saman dan notis manakala polis pula sebanyak 42 saman hasil pemeriksaan 109 pelbagai jenis kenderaan dan 121 individu sepanjang operasi dijalankan.

“Saman dikeluarkan membabitkan kesalahan berkaitan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada cermin sisi, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’.

“Selain itu, kami turut menyita motosikal Yamaha RXZ dan Yamaha 125 Z mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, pihak AADK menahan lima lelaki masing-masing positif methamphetamine, THC dan opiat hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua individu terbabit.

Beliau berkata, lima individu berusia antara 22 hingga 37 tahun yang berkerja sebagai mekanik, nelayan dan buruh itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 12:34 PM