NUR Aisyah Hasmizan masih belum pulih sepenuhnya akibat gigitan kerengga dan masih dirawat. FOTO ihsan keluarga
NUR Aisyah Hasmizan masih belum pulih sepenuhnya akibat gigitan kerengga dan masih dirawat. FOTO ihsan keluarga
Mohamed Farid Noh


“Aisyah kini makin kerap tersenyum malah seronok menerima kunjungan ramai tetamu yang mahu melawatnya sejak kejadian kehilangannya disiarkan akhbar,” kata ibunya Siti Noorfadilah Yusofe, 30.

Siti Noorfadilah adalah ibu kepada Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan, atau dipanggil Aisyah yang dilarikan lelaki warga Nepal selepas memecah masuk kediaman keluarga wanita itu di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar, 7 jun lalu.

Menurutnya, walaupun kecederaan terutama luka di bahagian tengkuk belakang Aisyah masih belum pulih akibat gigitan kerengga sehingga ke daging namun anaknya itu tidak banyak meragam, berbeza selepas kejadian menimpanya.

“Aisyah hanya menangis ketika bangun tidur akibat trauma apatah lagi ketika dia dilarikan Aisyah sedang tidur namun selain itu dia makin ceria dan gembira dikelilingi keluarga serta menerima kunjungan ramai tetamu.

“Kami sekeluarga juga sangat terharu apabila menerima ratusan tetamu sejak hari raya pertama yang mahu melawat Aisyah malah ada yang datang dari Perak semata-mata mahu memberi semangat.

“Ramai juga tetamu yang memberikan air penawar untuk memulihkan semangat Aisyah seperti dulu dan kami sekeluarga berbesar hati dengan keprihatinan semua pihak dan melayan semua tetamu yang mahu berjumpa Aisyah dengan ikhlas, ” katanya ketika dihubungi NSTP.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Aisyah dilarikan individu yang tidak dikenali selepas memecah masuk rumah keluarganya.

Nur Aisyah ditemui dan diselamatkan polis jam 3.45 petang kira-kira 15 jam selepas dilaporkan hilang di kawasan belukar satu kilometer dari rumah keluarganya.

Sementara itu, Siti Noorfadilah berkata, dia sekeluarga juga sudah mengambil langkah keselamatan termasuk memasang pagar di sekeliling rumah bagi menghalang kediaman mereka dicerobohi.

Katanya, kini dia pula yang mengalami trauma apabila sukar untuk tidur dan lebih suka melihat bayi dan tiga lagi anaknya tidur.

“Saya juga tidak berani lagi meninggalkan ibu saya, Minah Basiran, 68, dan anak-anak terutama Aisyah di rumah lagi walaupun pergi ke kedai berdekatan malah membawa semua pergi ke mana saja bersama,” katanya.

Berita berkaitan

Tergamak awak...

Aisya asyik menangis, tidur kena peluk

'Doakan Nur Aisyah cepat sembuh'

[UPDATE] Culik bayi: Polis tahan lelaki Nepal

Alhamdulillah, Nur Aisyah sudah ditemui

[UPDATE] Saya tak tau apa motif dia...

Pulangkan bayi aku...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 9:48 PM