KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin (tengah). FOTO Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin (tengah). FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Izham Unnip Abdullah


SELEPAS kira-kira dua minggu tampil menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilantik sebagai Ketua Menteri, Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin akhirnya membuat kenyataan rasmi keluar UMNO, malam kelmarin.

Difahamkan, Armani bersama kira-kira 200 ahli UMNO Libaran, Sandakan menyatakan keputusan itu pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Sandakan, malam kelmarin.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mendapati UMNO hilang arah sebelum membuat pilihan untuk mengalihkan sokongan kepada WARISAN yang menerajui kerajaan baharu negeri bersama Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Armani yang juga adik Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hadir di rumah Mohd Shafie di Taman Golfview, Bundusan, Penampang pada petang 13 Mei lalu, iaitu sehari selepas Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Beliau yang ketika itu disambut penyokong WARISAN termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Dara sempat menyatakan kehadirannya sebagai tanda sokongan di atas pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.

Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas enam wakil rakyat Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti dan menyatakan kerjasama kepada pakatan WARISAN-PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:07 PM