MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ulas kenyataan dari Naib Presiden PKR Rafizi Ramli. FOTO Shahnaz Fazlie Shahriza
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ulas kenyataan dari Naib Presiden PKR Rafizi Ramli. FOTO Shahnaz Fazlie Shahriza
Suzalina Halid


USAH bangkitkan kenyataan berhubung pasca pilihan raya yang boleh menggugat hubungan dalam kalangan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PH sudah berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sudah tiba masanya gabungan parti itu bekerja dengan memelihara hubungan persahabatan yang terjalin.

“Tak perlu bangkitkan kerana kesannya tak berapa sedap bagi hubungan dalam kalangan parti gabungan kerana kami sangat akrab dan kita cuba elakkan usaha mengganggu gugat persahabatan sedia terjalin, ” katanya kepada pemberita, di Alor Setar hari ini.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyampaikan sumbangan kepada semua masjid di daerah Kubang Pasu, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa populariti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan faktor kemenangan PH pada PRU-14 sebaliknya ia disebabkan kenaikan kos sara hidup dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Rafizi berkata demikian hasil tinjauan pendapat yang dijalankan Invoke Malaysia mengenai pasca pilihan raya menunjukkan pengundi lebih terkesan dengan dua isu berkenaan berbanding perasaan taat setia kepada Dr Mahathir.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, soal faktor kemenangan bukanlah isu yang perlu dibangkitkan kerana yang penting kini PH sudah berjaya menubuhkan kerajaan.

“Itu mungkin pandangan dia, kami ada pandangan sendiri, kita rasakan bahawa soal faktor kemenangan tak timbul yang penting keputusan dah diketahui.

“Kerajaan sudahpun tubuh jadi isu seperti itu tidak perlu dibangkitkan kerana kesannya tak berapa sedap dalam hubungan kalangan ahli politik, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 6:34 PM