MOHAMED Khaled pada majlis ramah mesra bersama veteran Umno Kota Tinggi di Felda Pasak hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
MOHAMED Khaled pada majlis ramah mesra bersama veteran Umno Kota Tinggi di Felda Pasak hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada sebarang perbincangan dibuat dengan mana-mana parti politik untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan agak mustahil perbincangan itu berlangsung sedangkan, pemimpin tertinggi parti sibuk berkempen di kawasan masing-masing.

"Tak ada (perbincangan). Saya di kawasan, mana ada (perbincangan), kita 'Top 5' memang tak ada (bincang).

"Semua ini (bergabung) timbul daripada pihak-pihak lain, memang tak pernah (bincang) sebab kita sibuk, masing-masing berkempen," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Veteran Umno Kota Tinggi di Felda Pasak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi berkata, beliau percaya isu bergabung antara parti itu dibangkitkan kerana parti lain melihat BN bakal menang PRU-15.

"Jadi, semua cuba memposisikan parti masing-masing, supaya agaknya mahu BN melamar mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutamanya BN.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung penggabungan itu diambil di luar konteks dan pelaporannya mengelirukan pengundi.

Ia selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dan menegaskan PN bertanding PRU-15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN mahupun Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin juga berkata, tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan pasca PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 2:22 PM