AIR yang masih belum surut dan memenuhi halaman rumah penduduk dalam banjir kilat yang melanda Kampung Permatang Durian,Padang Serai, Kulim. FOTO Azahar Hashim
AIR yang masih belum surut dan memenuhi halaman rumah penduduk dalam banjir kilat yang melanda Kampung Permatang Durian,Padang Serai, Kulim. FOTO Azahar Hashim
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan memberi bantuan susulan wang tunai RM100 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah Kulim, semalam.

Pengarahnya, Azmi Abd Karim, berkata, bantuan awal sudah diberikan kepada mangsa di pusat pemindahan banjir seperti selimut, tikar, kain pelikat dan batik serta kit makanan ketika mendaftar.

Beliau berkata, maklumat terkini yang diperolehi mendapati satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di Pejabat Penghulu Padang, Meha, Kulim membabitkan 17 mangsa dari enam keluarga.

“Enam PPS iaitu di Dewan Desa Kampung Naga Lilit, Surau Kampung Padang Meha, Dewan Masjid Sungai Seluang, Dewan Kampung Lindungan Raja, Surau Taman Seri Kancil serta Sekolah Menengah Agama Jangkang sudah ditutup dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun 60 pegawai JKM di daerah itu bersiap sedia sekiranya banjir berulang bergantung pada keadaan cuaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika mengiringi Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit kanak-kanak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.

Dalam kejadian banjir di Kulim dan Bandar Baharu, kebanyakan mangsa di lebih 11 kampung dipindahkan ke tujuh PPS sejak petang semalam sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam program sama, Azmi berkata, pihaknya turut menyerahkan borang kepada ibu yang melahirkan anak kurang enam bulan dari tarikh kelahiran bagi melayakkan mereka mendapatkan bantuan RM100 seorang iaitu baucer RM80 dan RM20 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 10:58 PM