NOR Mohamed keluar dari Yayasan Kepimpinan Perdana selepas pertemuan bersama Tun Dr Mahathir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NOR Mohamed keluar dari Yayasan Kepimpinan Perdana selepas pertemuan bersama Tun Dr Mahathir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail dan Suhaila Shahrul Annuar


BEKAS Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, meluangkan masa hampir sejam bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, butiran pertemuan itu tidak dapat dipastikan kerana Nor Mohamed, yang juga bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), enggan memberi sebarang komen kepada media.

Terdahulu, kenderaan membawa Nor Mohamed tiba kira-kira 2 petang, namun beliau terpaksa menunggu ketibaan Perdana Menteri.

Dr Mahathir hanya tiba di pejabatnya itu pada 3.10 petang selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan mengadakan sidang media di Petaling Jaya, Selangor.

Kenderaan yang membawa Nor Mohamed keluar dari bangunan berkenaan pada 3.55 petang. Ketika cuba ditahan pemberita, beliau menurunkan sedikit cermin sebelum mengarahkan pemandunya untuk meneruskan pemanduan.

Turut kelihatan keluar dari bangunan YKP pada 3.30 petang ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:13 PM