ABDUL Hamid (kiri) bertemu Tun M hari ini.
ABDUL Hamid (kiri) bertemu Tun M hari ini.
BERNAMA

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, hari ini.

Pertemuan itu berlangsung lebih sejam dan Abdul Hamid, yang disapa pemberita yang menunggu di luar yayasan itu ketika meninggalkan YKP, bagaimanapun tidak menjelaskan tujuan pertemuan itu.

Dr Mahathir berada di YKP sejak 9.50 pagi, sebelum dilihat keluar pada 12.35 tengah hari dan kembali semula pada 2.30 petang.

Turut dilihat berkunjung ke YKP hari ini ialah Naib Presiden PKR Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.

Tian Chua ketika ditanya mengenai kehadirannya di YKP berkata, beliau tidak mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

“Saya di sini untuk berjumpa dengan pegawai (Dr Mahathir) bagi menyelesaikan beberapa dokumen serta sedikit perbincangan.

“Jadi, tolong jangan buat sebarang andaian,” katanya.

Tian Chua berkata, tiada perkara yang mencurigakan mengenai kehadirannya di YKP, sambil menambah beliau tidak mahu membebankan Dr Mahathir dengan perkara ‘berat’.

“Tiada apa yang mencurigakan… Saya tidak mahu membuang masa beliau,” katanya.

Diminta mengulas insiden yang menyaksikan beliau diserang penyokong PKR, Tian Chua berkata: “Itu perkara kecil.

“Saya tidak mahu membesar-besarkannya. Janganlah buat sebarang spekulasi lagi… cukup-cukuplah dengan kisah lama ini”

Tian Chua dilaporkan diserang segelintir penyokong parti di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 6:53 PM