DR Mahathir ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Mahathir ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Wartawan NSTP


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akan memasuki Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Bangunan Perdana Putra, Presint 1, Putrajaya, minggu depan.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, hari ini.

Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-7, Khamis lalu, Dr Mahathir belum lagi memasuki PMO, sebaliknya beliau lebih selesa mengendalikan urusan kerajaan dari pejabat lamanya yang terletak di Presint 8, Putrajaya.

Malah, beliau juga banyak mengadakan siri pertemuan dengan pelbagai pimpinan parti Pakatan Harapan (PH); pemimpin korporat dan pegawai tertinggi kerajaan termasuk menerima kunjungan diraja, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama puteranya, Putera Abdul Mateen, Isnin lalu juga di YKP.

YKP juga menjadi lokasi utama bagi membincangkan pelbagai isu termasuk skandal syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB); isu pertukaran dan gantung tugas beberapa pegawai kanan kerajaan serta proses bagi memuktamadkan barisan Jemaah Menteri yang baharu.

Sehingga hari ini, sudah dua sidang media dikendalikan Dr Mahathir di YKP yang dihadiri petugas media dari pelbagai agensi berita tempatan dan asing.

Sejak Isnin lalu, puluhan wartawan dan jurugambar berkampung di luar bangunan YKP bagi mendapatkan gambaran dan maklumat terkini mengenai kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, orang awam juga kelihatan hadir untuk melihat ‘kemeriahan’ di luar bangunan berkenaan termasuk bagi merakam gambar kenangan.

Malah, sejak Isnin lalu juga kerja penyelenggaraan bangunan, landskap dan jalan raya di sepanjang laluan menuju ke YKP turut dilakukan oleh pekerja selenggara bagi memastikan kawasan sekitar bangunan kekal terpelihara dan bersih.

Sejak beberapa bulan lalu, YKP turut dijadikan pusat perbincangan dan mesyuarat tertinggi serta perancangan gerak kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mana Tun Dr Mahathir adalah Pengerusi parti berkenaan.

Bangunan YKP dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 10 Mei 2005 selain turut menempatkan pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan; auditorium; bilik mesyuarat; pejabat pentadbiran dan dewan makan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:37 PM