Kuala Lumpur: Didorong semangat cintakan ilmu pengetahuan serta keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat, Pengerusi Zilzar Tech Sdn Bhd Datuk Dr Vaseehar Hassan Abdul Razack menghasilkan buku yang berjudul The Malay Leadership Mystique.

Buku setebal 258 muka surat itu hasil penyelidikan beliau selama lapan tahun dalam usaha untuk memahami masyarakat Melayu serta kualiti kepimpinan mereka melalui kanta klinikal.

Vaseehar yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perbankan menggunakan pelbagai kaedah pendekatan untuk menghasilkan buku berkenaan.

“Antara kaedah yang digunakan adalah kajian budaya, kumpulan tumpuan, menemubual pakar serta menggunakan teori psikologi kumpulan yang besar untuk menjelaskan bagaimana penjajahan dan feudalisme memberi kesan kepada kepimpinan Melayu dalam politik dan perniagaan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku berkenaan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Arshad Ayub, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Mohd Effendi Norwawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:13 AM