Haika Khazi

PERJANJIAN ditandatangani antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh menjejaskan dan memberi kesan buruk terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, perkara itu terdedah selepas beliau ditunjukkan perjanjian bersama antara PH dan PPBM yang bertarikh 13 Disember 2016.

Abdul Hamid berkata perjanjian berkenaan ditandatangani dua pihak iaitu PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAN sementara di satu pihak lagi PPBM.

Katanya, perjanjian dibuat di Petaling Jaya itu ditandatangani sendiri oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAN Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PPBM).

“Klausa 1(1) Perjanjian itu, antara lain, menyebut mereka akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan ‘bebas’, aman dan damai”

“Perhatikan bahawa peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang memperuntukkan, antara lain; Perkara 3.(1)Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

“Perhatikan bahawa perkataan “bebas” telah ditambah. Apakah kesannya?” katanya menerusi blognya http://www.tunabdulhamid.my, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata antara kesan penambahan klausa ‘bebas’ dalam perjanjian terbabit ialah orang bukan Islam tidak boleh dihalang daripada pengembangan agama mereka kepada orang Islam kerana itu adalah sebahagian daripada ajaran agama mereka.

Katanya, mereka mempunyai alasan untuk menuntut supaya dibina atau untuk membina gereja dan tokong-tokong mereka di tempat-tempat awam, termasuk di kampus-kampus universiti.

“Cara mereka beribadat juga tidak boleh disekat. Misalnya, di bulan hantu lapar, mereka boleh meletakkan babi panggang di luar tokong mereka, termasuk di dalam kampus universiti, kerana menjamu hantu lapar adalah sebahagian daripada amalan keagamaan mereka di bulan itu.

“Ringkasnya, tujuan mereka menambah perkataan “bebas” itu ialah untuk meletakkan agama-agama lain setaraf dengan agama Islam di segi pentadbiran, termasuk penggunaan dana kerajaan. Perlu ditekankan bahawa semua itu boleh dilakukan secara pentadbiran, tanpa meminda Perlembagaan.

“Nampaknya ketiga-tiga pemimpin Melayu/Islam itu sama ada tidak nampak, tidak peduli, hendak mengambil hati Lim Guan Eng atau sudah diperbodohkan oleh Lim Guan Eng. Ini orang Melayu/Islam perlu sedar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 6:07 PM