FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Agensi

Singapura: Jururawat Muslim di Singapura yang bertugas dalam sektor kesihatan awam dibenarkan memakai tudung sebagai sebahagian pakaian seragam mereka, bermula November ini.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Bahasa Inggeris di Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam.

Lee berkata, kerajaan berusaha untuk melaksanakan penyesuaian itu dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Katanya, kerajaan juga faham hasrat lebih ramai Muslimah untuk memakai tudung.

Pada 2014, Lee mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin Melayu/Islam dan menjelaskan dasar bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

"Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang - Muslim mahupun bukan Muslim - memahami dan menerima perubahan itu.

"Ini kerana, tudung bukan hanya isu membabitkan masyarakat Muslim, ia adalah isu nasional," katanya seperti dilaporkan Mediacorp.

Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berterima kasih kepada Lee kerana menyahut permintaan masyarakat Melayu/Islam untuk membenarkan jururawat Muslim memakai tudung di tempat kerja.

"Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia berkait rapat dengan aspek keharmonian kaum dan agama di negara ini," katanya.

Beliau berharap agar pengumuman itu tidak merenggangkan masyarakat Singapura malah mempererat hubungan sesama masyarakat.

"Kita juga harus memastikan bahawa peraturan-peraturan, apa sahaja yang dilakukan yang boleh menjejas keharmonian antara bangsa dan juga antara agama harus akhirnya mendekatkan lagi antara kita dan tidak meningkatkan lagi jurang antara masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 7:50 PM