Mohamed Khaled (tengah) pada perasmian Majlis Pecah Tanah PPR Permas Jaya, Johor Bahru.
Mohamed Khaled (tengah) pada perasmian Majlis Pecah Tanah PPR Permas Jaya, Johor Bahru.
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor hari ini mendesak DAP membuat penafian berhubung pendedahan seorang ahli seumur hidup parti itu yang mendakwa puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan disebarkan sebelum hari pengundian.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika dakwaan Penolong Penerbit UbahTV, Amran Ahmad, itu tidak betul, DAP terbuka menyaman ahli DAP seumur hidup itu.

Katanya, parti yang menggunakan fitnah ketika kempen pilihan raya umum menunjukkan parti itu terdesak mendapatkan undi.

“Kalau benda (dakwaan) itu tidak betul, DAP terbuka menyaman orang itu (Amran) tetapi memanglah saya ingat pertama, satu-satu parti yang menggunakan fitnah atau cara itu menunjukkan keadaan terdesak.

“Kedua, sebenarnya menunjukkan kerajaan ini (BN) banyak buat baik tetapi (DAP) tiada cara lain pengaruhi rakyat dan terpaksa buat fitnah serta sebar cerita tidak betul.

“Kami (BN Johor) harap DAP buat penafian. Saya percaya yang membuat kenyataan itu tentunya ada bukti untuk pastikan apa dia cakap itu benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) Bandar Dato’ Onn di sini, semalam.

“Kami pesan rakyat yang dengar ceramah mereka (DAP) berhati-hati, supaya tidak buat pilihan (undi calon pembangkang) kerana fitnah berleluasa atau pembohongan,” katanya.

Kelmarin, penolong penerbit televisyen rasmi dalam talian DAP mendakwa semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah direka parti itu siap dan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:15 AM