Mohd Hasbi Sidek


POLIS menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan Penolong Penerbit UbahTV, Amran Ahmad, yang mendedahkan DAP mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

"Aktiviti yang dijalankan mereka boleh mengancam keselamatan negara dan amalan demokrasi berparlimen.

"Mana-mana parti yang mahu berkempen jangan sampai ganggu keselamatan negara. Kami menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat perkara ini," katanya ketika sidang media Walkabout Pencegahan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Pusat Beli-belah MyTOWN, Pudu, hari ini.

Terdahulu, Mazlan memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Amran mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang menganggu demokrasi parlimen ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini pada sidang media, semalam.

Beliau mendakwa antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang itu adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan lain.

Berita berkaitan:

Polis siasat pendedahan Amran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 8:20 PM