MARIAM  menunjukkan MyKadnya. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
MARIAM menunjukkan MyKadnya. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
HM Digital

Mersing: Mariam Zakaria yang berusia 100 tahun tidak sabar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Mariam yang tinggal di Kampung Hubong, Endau, dekat sini dikatakan pengundi tertua di Parlimen Mersing malah antara tertua di Johor.

Sepanjang 13 kali PRU, hanya tiga kali dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi berikutan masalah kesihatan dan penglihatan.

Mariam berkata, dia teruja menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun tidak berapa sihat akibat penyakit semput dan masalah penglihatan.

“Walaupun saya tidak mampu lagi melihat dengan jelas, tanggungjawab untuk mengundi kali ini tidak akan saya lepaskan, saya berharap ada pihak yang sudi membantu saya ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau nanti,” katanya.

Bagi Mariam, meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan atas faktor usia, dia tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan itu.

Dia yang mempunyai tiga anak kini bergantung hidup kepada anak dan cucu selain hasil kelapa sawit serta bantuan BR1M.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:48 AM