Nurul Amanina Suhaini


SIAPA sangka sebuah rumah yang dibina menggunakan bahan terpakai di Lorong 4, Kampung Sungai Perling Baru, Johor Bahru adalah 'istana' bagi empat keluarga dengan 23 penghuni.

Beratapkan zink dan kanvas serta berdindingkan papan lapis, rumah itu didiami Nik Pa Zakaria dan isteri, Mariam Mat Rasid, 51, serta lima anak, tiga menantu dan 13 cucu berusia dua bulan hingga 10 tahun.

"Apabila hujan, rumah ini mesti bocor dan kami terpaksa tidur macam kura-kura (sembunyi cari tempat tidak basah)," kata Mariam.

Mariam berkata, keluarganya tinggal menumpang di tanah tepi sungai itu sejak lebih tujuh tahun lalu.

Katanya, selain struktur rumah yang tidak sempurna, kawasan berkenaan turut sering dinaiki air kerana limpahan sungai setiap kali air pasang besar.

Mariam (kiri) bersama anak sulungnya, Nik Rosmawati (kanan). FOTO Nurul Amanina Suhaini
Mariam (kiri) bersama anak sulungnya, Nik Rosmawati (kanan). FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Saya pernah tinggal di Bukit Chagar selama lima tahun sebelum berpindah ke Kampung Pasir dan tinggal di situ lebih 10 tahun.

"Kami diberi menumpang di sini selepas berpindah ke Kampung Sungai Perling Baru sejak lebih tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui hari ini.

Dia berkata, mata pencarian suami serta tiga menantunya tidak menentu kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, jika tiada kerja, mereka menjual ikan haruan yang ditangkap dari kolam berdekatan rumah dan menjualnya di pasar berhampiran.

Mariam berkata, jika keadaan mendesak, keluarganya mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, sardin, gula dan minyak yang diwakafkan di masjid berdekatan.

"Penduduk kampung juga selalu membantu dengan bersedekah makanan dan barangan keperluan harian," katanya.

KEADAAN tempat tidur keluarga Mariam. FOTO Nurul Amanina Suhaini
KEADAAN tempat tidur keluarga Mariam. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Mariam berkata, dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, sambutan Aidilfitri juga secara ala kadar.

"Untuk cucu-cucu kalau ada orang bersedekah maka adalah pakaian baru, jika tiada kami beli baju yang murah di pasar raya.

"Cucu-cucu yang kecil tidak cerewet. Kalau ada susu mereka minum. Kalau ayah mereka kesempitan wang, minumlah air sirap, air teh o," katanya.

Sementara itu, keadaan keluarga Mariam itu mendapat perhatian Pertubuhan Ihsan Johor yang mengunjungi mereka serta mengagihkan sumbangan permulaan membabitkan makanan, susu kanak-kanak, lampin pakai buang, kipas dan almari, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist berkata, pihaknya turut merancang bagi membuat kutipan dana daripada orang ramai termasuk pakaian terpakai.

KEADAAN dapur kediaman Mariam bersama keluarga. FOTO Nurul Amanina Suhaini
KEADAAN dapur kediaman Mariam bersama keluarga. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Kami akan membantu keluarga ini memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan membaik pulih rumah mereka buat sementara waktu," katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang kepada keluarga Mariam turut boleh terus menghubungi anak sulung Mariam, Nik Rosmawati di 019-718 3244.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:51 PM