Mariam melihat keadaan lumpur di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang. (Gambar kanan) Keadaan rumahnya yang dinaiki air kelmarin. FOTO Ramli Ibrahim
Mariam melihat keadaan lumpur di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang. (Gambar kanan) Keadaan rumahnya yang dinaiki air kelmarin. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


WANITA warga emas menghadapi banjir hampir 40 kali apabila rumahnya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, sering ditenggelami air termasuk kejadian kelmarin.

Mariam Yusoff, 95, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kali rumahnya dilanda banjir besar termasuk Disember 2014.

Katanya, dia tinggal di rumah itu sejak 50 tahun lalu dan pada 2014 kediaman pusaka yang dibina arwah suaminya musnah dibawa arus deras.

"Saya mendapat rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina kerajaan setahun lalu. Pembinaan rumah itu di tapak yang sama dan ia terdedah dengan banjir di musim tengkujuh.

"Mak cik tiada pilihan kerana ini saja tanah yang ada dan tinggal seorang diri. Sebaik melihat air Sungai Galas di belakang rumah naik, saya segera berpindah ke kawasan yang selamat dengan membawa beg pakaian," katanya.

Mariam yang mempunyai lima anak dan 10 cucu berkata, dalam kejadian banjir kelmarin, rumahnya dinaiki air lebih dua meter dan dia terus berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2.

Katanya, seorang anaknya tinggal berjiran dengannya dan empat yang lain menetap di luar Kelantan.

"Mujur rumah mak cik tiada perabot dan peralatan berharga memandangkan saya tidak mampu membelinya.

"Namun, mak cik tidak mampu mencuci lumpur yang memenuhi rumah seorang diri dan berharap ada pihak yang sudi membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 12:59 PM