PENDUDUK mengusung jenazah Mariam  di Kampung Hubong bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, Endau.
PENDUDUK mengusung jenazah Mariam di Kampung Hubong bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, Endau.
Zul Ikhwan Muhammad

MERSING: Wanita dipercayai tertua di daerah ini, Mariam Zakaria, 100, yang sebelum ini dilaporkan teruja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), baru-baru ini, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Hubong, Endau di sini, awal pagi semalam, kerana sakit tua.

Cucunya, Salleh Rahmat, 63, berkata, dia dimaklumkan oleh anak angkat neneknya itu awal pagi semalam mengenai tahap kesihatan Mariam semakin merosot serta keadaannya yang lemah sebelum dia bergegas ke rumah warga emas itu.

“Kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan oleh anak angkat nenek mengenai keadaan nenek yang lemah ketika hendak dimandikan. Sebaik mendapat berita itu saya bergegas ke rumah nenek,” katanya.

Salleh berkata, sebaik tiba, dia mendapati neneknya sudah meninggal dunia seterusnya memaklumkan kepada klinik kesihatan berhampiran untuk pengesahan.

Menurutnya, jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Hubong, Endau seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, Endau, pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 6:05 AM