MARIAM (kiri) mengakui menyesal terjebak dengan zina ketika ditemu bual pegawai MAIS sempena Hari Kecemerlangan Pelatih dan Sambutan Aidilfitri 2019 MAIS di Sabak Bernam, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
MARIAM (kiri) mengakui menyesal terjebak dengan zina ketika ditemu bual pegawai MAIS sempena Hari Kecemerlangan Pelatih dan Sambutan Aidilfitri 2019 MAIS di Sabak Bernam, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


“KEPADA semua remaja khususnya wanita, berpada-pada jika bercinta dan jangan sesekali terjebak dengan zina.

Ingatlah ibu bapa yang bersusah payah membesarkan kita, sangat sukar melaluinya ditambah pandangan serong masyarakat,” kata wanita mahu dikenali sebagai Mariam.

Wanita berusia 22 tahun itu mula terlanjur sejak dua tahun lalu dengan teman lelakinya dan mengandung anak luar nikah pada Februari tahun lalu.

Mengimbau semula kejadian berkenaan, Mariam berkata, dek kerana terlalu mencintai teman lelakinya dan sanggup menanggung risiko, dia kini terpaksa bergelar ibu pada usia muda.

“Ibu bapa saya terduduk apabila diberitahu mengenai berita buruk ini, kalau boleh saya tidak mahu mengingat semula apa yang keluar daripada mulut mereka ketika itu.

“Namun saya bersyukur kerana mereka masih terima saya sebagai anak dan tidak membuang saya bersama anak dilahirkan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mariam antara 45 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang diraikan dalam majlis Hari Kecemerlangan Pelatih dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Sabak Bernam, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ahmad Shahir Makhtar.

Mariam berkata, menjadi penghuni pusat berkenaan merubah kehidupannya 360 darjah apabila perlu hidup berdikari, selain mendalami ilmu agama yang sebelum ini diabaikan.

“Pada awal dihantar ke sini, setiap hari saya menyendiri dan menangis kerana pertama kali berjauhan daripada keluarga.

“Selain itu, memikirkan anak ditinggalkan pada ibu bapa untuk dijaga sementara saya berada di pusat pemulihan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni dikenali sebagai Hidayah, 16, berkata, sikap liarnya menjerat diri apabila terlanjur dengan teman lelakinya yang juga rakan sekolah.

Dia turut mengakui kehidupannya amat bebas walaupun ketika itu berusia 14 tahun, namun kini sudah insaf dan serik apabila diri diuji.

“Kami boleh dikatakan setiap hari akan berjumpa di sekolah sebelum membuat keputusan menjadi pasangan kekasih.

“Hubungan kami bermula dengan melakukan perkara yang menghampiri zina sehingga akhirnya kami terlanjur,” katanya yang kini menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Hidayah yang juga anak kedua daripada lima beradik berkata, dia mengambil keputusan untuk berubah sepenuhnya selepas tidak sanggup mendengar tangisan kedua ibu bapanya.

“Cukuplah sekali saya melakukan dosa. Apabila berada di sini (Baitul Ehsan) , kehidupan lebih terurus selepas saya mempelajari ilmu agama dan menunaikan solat.

“Walaupun kehidupan silam saya masih tersisa dalam diri ini, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus istiqamah dalam menjadi insan diredai Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:14 PM