WARGA emas, Mariam Ismail ketika ditemui di kediamannya di Taman Dusun Nyior Hijau, Ampangan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
WARGA emas, Mariam Ismail ketika ditemui di kediamannya di Taman Dusun Nyior Hijau, Ampangan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


IBU tunggal tidak pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak 24 tahun lalu, selepas ibu kesayangannya meninggal dunia akibat batuk kering.

Mariam Ismail, 63, berkata setiap kali 1 Syawal muncul, dia hanya menziarahi kubur ibu bapanya dan pulang ke rumah menikmati juadah yang diberikan jiran.

Katanya, kehilangan ibu, Ajara Mydin ketika dia berusia 39 tahun menyebabkan dia sedih, apatah lagi bapanya meninggal dunia ketika berusia lima tahun.

“Hari raya saya seorang sahaja, tiada sesiapa. Tetapi hari ini, ramai melawat dan membuatkan saya teringin sangat menyambut kembali Aidilfitri dengan memakai baju baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nyior Hijau, Seremban, hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohamad Hapil dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) The 3rd Force.

Mariam berkata, dia kini tinggal berseorangan selepas anaknya yang berusia 40 tahun tidak lagi tinggal bersamanya sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, walaupun terpaksa tinggal di rumah yang tidak sempurna akibat bumbung bocor dan tiada dinding, tetapi dia sayangkan rumah yang didiami sejak 63 tahun lalu.

“Jika hujan, saya akan tidur di kandang kambing atau reban ayam. Saya tidak mahu pindah kerana sangat sayangkan tempat ini,” katanya yang menerima bantuan JKM dan Baitulmal masing-masing sebanyak RM350 dan RM250 sebulan.

Sementara itu, Dr Mohamad Rafie berkata, Mariam kini tinggal di tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan berbahaya kerana terletak di sebelah sungai.

Katanya, dia sudah memujuk wanita itu supaya berpindah ke rumah yang lebih selesa, tetapi enggan dengan alasan sayang untuk meninggalkan rumahnya.

“Kita akan terus berusaha memujuknya sehingga dia bersetuju. Keadaan rumahnya amat daif dan tidak lagi sesuai untuk didiami lagi, selain dekat dengan sungai yang selalu banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 4:30 PM