MOHAMAD Fareez (dua kanan) menziarahi keluarga di Kampung Madap, Kota Bharu, 2 Mei lalu. FOTO Betty Subaryati
MOHAMAD Fareez (dua kanan) menziarahi keluarga di Kampung Madap, Kota Bharu, 2 Mei lalu. FOTO Betty Subaryati
Nor Fazlina Abdul Rahim


CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Mohamed Fareez Noor Amran mengakui populariti sepupunya, Neelofa Mohd Noor, turut memberi kelebihan kepada dirinya sepanjang tempoh berkempen.

Mohamad Fareez yang juga calon muka baharu itu berkatam, setiap kali beliau berkunjung di rumah penduduk kampung, ramai yang bertanyakan kesahihan adakah benar beliau sepupu kepada Neelofa.

"Itulah suasana sepanjang berkempen dan populariti Neelofa turut menjadi bonus kepada saya kerana ke mana saya pergi ada saja yang mengaitkan saya dengan Neelofa

"Malah, ramai yang bertanyakan sama ada Neelofa membantu saya sepanjang tempoh berkempen. Sebenarnya saya sendiri tidak pernah berbincang dengan Neelofa kerana faham situasinya seorang yang dikenali dan semestinya mempunyai penyokong pelbagai latar belakang.

"Saya tidak mengharapkan Neelofa turun padang berkempen untuk saya bagi menghormati situasi sepupu, namun semestinya saya mahukan sokongan darinya sebagai ahli keluarga," katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Mohamed Fareez berkata, memasuki hari kelapan berkempen, beliau mengakui bertanding di kerusi paling popular apabila anak kepada Allahyarham Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar tampil bertanding di kerusi berkenaan.

"Walaupun saya akui Nik Omar ada pengaruhnya, namun saya tidak gentar dan sudah berusaha sebaik mungkin bagi meraih undi penduduk.

"Saya beranggapan BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi di DUN Chempaka selepas ketiadaan Allahyarham Nik Aziz dan saya juga optimis rakyat mahukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:37 PM