KHAIRY
KHAIRY
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Calon Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sekiranya tidak menarik balik tuduhan dibuat ke atasnya dan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, tuduhan beliau dan Mohamad bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghalang calon pembangkang, Dr S Streram masuk menghantar borang penamaan calon di Dewan Sri Rembau di Rembau kelmarin adalah serius.

Khairy berkata, tindakan polis dan pegawai SPR menghalang calon terbabit bersama pencadang dan penyokongnya masuk ke dewan itu kerana mereka tidak mempunyai pas dikeluarkan SPR dan bukan sengaja dihalang oleh BN.

“Saya sudah meminta peguam membuat surat tuntutan kepada Rafizi untuk menarik balik tuduhan. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, saya akan teruskan dengan tindakan saman.

“Tindakan undang-undang mengikut Akta Anti Berita Tidak Benar juga akan diambil kerana Pemuda UMNO sudah pun membuat laporan polis mengenai berita palsu itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Bicara Isu-Isu Semasa di Senawang di sini, semalam.

Selain itu, Khairy menyifatkan Rafizi tidak bertanggungjawab apabila membangkitkan isu perkauman dengan membuat hasutan meminta pengundi India bangkit membalas dendam terhadap apa yang berlaku kepada calon pembangkang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 8:45 AM