MOHAMAD Hasan (kanan) berbincang bersama Khairy. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMAD Hasan (kanan) berbincang bersama Khairy. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengekalkan jawatannya apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan itu.

Khairy, 42, mengekalkan jawatan itu selepas tiada ahli lain yang menghantar pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal dicabar oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Rais Zainuddin.

Selain itu, Nurulhuda Mohd Nor dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Rembau yang baharu menggantikan Zuliana Mohd Ridzuan yang melebihi had umur.

Ketua Wanita UMNO, Siti Arpah Mohd Dom pula, menang tanpa bertanding.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO Rembau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Penolong Setiausaha, Suhaimi Aini, Muhd Hanafi Mohd Taib dan Mohd Khalid Sakimin.

Khairy yang ditemui ketika hadir Persidangan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau berkata, beliau akan terus berusaha menguatkan UMNO Bahagian Rembau.

“Saya akan bersama Ketua Bahagian membantu UMNO di Rembau walaupun dalam keadaan kita menjadi pembangkang tetapi kita akan terus menjadi kubu kepada BN (Barisan Nasional).

“Walaupun kerusi di kawasan lain jatuh kepada PH (Pakatan Harapan) tetapi Rembau masih lagi dapat bertahan dan kita akan pastikan pilihan raya akan datang juga akan terus bertahan,” katanya.

Persidangan berkenaan dirasmikan Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Seramai 1,500 wakil semua sayap UMNO Bahagian Rembau menghadiri persidangan berkenaan yang bermula 10 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 4:47 PM