Ribuan pengunjung membeli tiket semasa pembukaan MAPS baru-baru ini.
Ribuan pengunjung membeli tiket semasa pembukaan MAPS baru-baru ini.
Farah Suhaidah Othman

TAMAN tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh secara berterusan dijadikan modal pihak pembangkang bertejuan dalam mengelirukan rakyat serta memburukkan kerajaan negeri .

Terbaru Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam satu sidang media di Ipoh semalam melaporkan MAPS mengalami kerugian sekitar RM20 juta membabitkan wang rakyat selepas beroperasi sejak Jun tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sudah berulang kali memberikan penjelasan bahawa pembinaan taman tema itu tidak membabitkan dana awam atau duit rakyat sebagaimana didakwa pembangkang.

Beliau berkata, isu pembinaan dan pembukaan taman tema itu juga dibangkitkan pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 Mac dan 24 November tahun lalu dan jawapan serta penjelasan sudah diberikan.

“Kerugian yang dinyatakan itu adalah kerugian sebelum operasi bagi tahun berakhir Jun 2016 dan menyaksikan kerugian berterusan dalam 2017 dan MAPS beroperasi tidak sampai setahun lagi bagaimanapun ia dijangka akan memberikan pulangan seperti disasarkan selepas pembukaan sepenuhnya Dream Zone pada Jun ini.

“Pelaburan dalam taman tema adalah berbeza yang mana ia memerlukan modal secara intensif dan pelaburan modal MAPS dijangkakan dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun,” katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Mohamad Zahir berkata, pemimpin pembangkang itu seolah-olah keliru berhubung kerugian yang dialami taman tema itu dan cuba mengelirukan orang ramai mengenainya.

Beliau turut menegaskan sekali lagi, bahawa pembangunan MAPS sama sekali tidak menggunakan dana awam dengan pegangan saham kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di dalam Perak Corp Bhd (PCB) adalah 52.27 peratus.

“PCB pula memegang saham Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) sebanyak 51 peratus melalui PCB Development Sdn Bhd (PCBD) anak syarikat milik penuh PCB dan secara efektifnya pegangan PKNP dalam MAPS hanyalah 26 peratus.

“MAPS tidak mengunakan langsung dana awam dan operasinya juga tidak terjejas walaupun Daya Sejahtera Sdn Bhd (DSSB) yang mempunyai pegangan saham dalam MAPS secara efektif 1.9 peratus memilih untuk penggulungan syarikat secara sukarela,” katanya.

Menurutnya, dakwaan pembangkang MAPS hanya menerima 200 pengunjung setiap hari adalah tidak benar.

“Mungkin dia dapat angka ini dari mimpi dia, setakat bulan Mac ini sahaja seramai 33,400 orang sudah berkunjung ke MAPS dan secara puratanya seramai 1,077 sehari, angka ini belum lagi jika ia dibuka sepenuhnya.

“Selama lapan bulan MAPS beroperasi lebih 220,000 pengunjung dicatatkan di mana 90 peratus daripadanya adalah pengunjung dari luar Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 6:24 PM