Muhammad Apendy Issahak


RUMAH rumah di FELDA Gunung Besout 4, Slim River yang dijadikan sarang penagih dan pengedaran dadah diserbu kali kedua dalam tempoh sebulan, Sabtu lalu.

Dalam Ops Sarang pada 10.30 malam itu, empat tangkapan membabitkan lelaki berusia 28 hingga 31 tahun dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan dibuat hasil risikan beberapa hari selepas mendapat maklumat mengenai rumah berkenaan kembali dijadikan sarang penagih serta terdapat aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan heroin.

Menurutnya, hasil serbuan dadah jenis heroin seberat 50.96 gram dan syabu 8.9 gram yang keseluruhannya bernilai RM2,000 mengikut harga pasaran dirampas.

“Daripada empat suspek yang diberkas seorang daripadanya adalah penghuni rumah manakala rakannya berusia 31 tahun adalah pengedar dadah yang baru beberapa bulan keluar penjara kerana kes jenayah.

“Dua lagi suspek adalah penagih dan keempat-empat yang ditahan adalah penduduk tempatan serta mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau terutama kes dadah,” katanya pada sidang media di IPD Muallim, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, turut dirampas dalam serbuan itu beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dan membungkus dadah.

“Antara barang yang dirampas adalah alat pembungkus elektronik, penimbang digital, botol kaca digunakan untuk menghisap syabu serta wang tunai RM1,020 disyaki wang hasil jualan dadah.

“Semua suspek turut positif dadah jenis syabu dan kini direman seminggu sehingga 21 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:52 PM
DADAH yang dirampas dalam Ops Sarang di rumah di FELDA Besout 4. FOTO Muhammad Apendy Issahak
DADAH yang dirampas dalam Ops Sarang di rumah di FELDA Besout 4. FOTO Muhammad Apendy Issahak