Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah semalam. FOTO Ihsan IPD Kota Tinggi
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah semalam. FOTO Ihsan IPD Kota Tinggi
Nurul Amanina Suhaini


TIGA lelaki tempatan berusia 20 hingga 32 tahun ditahan polis ketika leka menghisap dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Jaya, Kota Tinggi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi, jam 5.05 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas rumah itu mendapati ia dijadikan tempat menjual dan menghisap dadah.

“Polis menemui sembilan paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan berat 263.98 gram selain enam paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat 283 gram.

“Turut dirampas alat penimbang digital dan sebuah kenderaan jenis Honda CRV,” katanya hari ini.

Ahsmon berkata, harga bagi bekalan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM19,850 untuk kegunaan 500 penagih di kawasan terbabit.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai hari ini sehingga Ahad ini.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati semua suspek memiliki rekod membabitkan kes dadah dan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Foto Ihsan IPD Kota Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:41 AM