Mohamad ceria keluar dari Kompleks Seri Perdana, Putrajaya selepas mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Abdul Rahim Rahmat
Mohamad ceria keluar dari Kompleks Seri Perdana, Putrajaya selepas mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Abdul Rahim Rahmat
Siti A’isyah Sukaimi dan Nursyahirah Marzuki

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di luar pintu masuk Kompleks Seri Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya di DUN, kekal di DUN lah,” katanya.

Ia sekali gus mengesahkan Mohamad akan terus kekal menerajui kerajaan negeri jika BN berjaya mengekalkan mandatnya di negeri itu.

Ditanya mengenai senarai nama calon BN, beliau hanya menjawab ringkas: “Kita berunding, ada setuju, ada tak setuju.”

Mengenai keyakinan beliau mempertahankan BN di negeri itu, Mohamad optimis serta akan bekerja keras.

“Insya-Allah kita kena kerja kuatlah,” katanya.

Terdahulu, beliau tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada jam 10 pagi dengan kenderaan rasmi serta keluar dari kompleks berkenaan jam 12.30 tengah hari.

Selain Mohamad, antara pemimpin lain yang dilihat turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 4:16 PM